Wednesday, 14 October 2015

JOM HIJRAH MENUJU FITRAH


Sekalipun hijrah Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam tidak berlaku di bulan Muharam, namun tiada salahnya untuk kita meraikan Awal Muharam yang menandakan permulaan tahun baharu takwim Islam dengan menghayati peristiwa tersebut.

Para sahabat Baginda radiallahu'anhum ajma'in di dalam suatu permesyuaratan ketika pemerintahan Sayyidina Umar al Khattab radiallahu 'anhu telah bersepakat menjadikan tahun berlakunya peristiwa tersebut sebagai tahun permulaan takwim Islam dan memilih Muharam sebagai bulan pertama.

Jangan sampai kita meremehkan kesepakatan para sahabat Baginda radiallahu'anhum ajma'in di dalam usaha kita menjelaskan hakikat pentarikhan sebenar hijrah Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam. Ma'al Hijrah saban tahun sebagai salah satu daripada hari-hari kebesaran Islam adalah suatu syi'ar yang wajar diteruskan dengan sambutan yang bermanfaat untuk kemajuan umat Islam.

Apa yang lebih penting dan utama adalah menyambutnya dengan mengambil ibrah daripada peristiwa penghijrahan Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam dan umat Islam. Semoga kita beroleh motivasi dan inspirasi daripada Sunnah Baginda Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam untuk kita berhijrah menuju fitrah. InsyaAllah.

Salam Ma'al Hijrah 1437h, jom hijrah menuju fitrah!

Saturday, 29 August 2015

PERKUKUH HAK ASASI MANUSIA, PERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA

Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1948 adalah suatu panduan yang digunapakai oleh Negara-negara anggotanya termasuklah Malaysia. Namun dokumen tersebut bukanlah suatu perjanjian antarabangsa dan ia tidak mengikat sebarang komitmen daripada Negara-negara anggotanya. Oleh itu, adalah tidak matang untuk mana-mana pihak menggesa Malaysia melepaskan keanggotaan di dalam PBB hanya kerana tidak memenuhi kriteria hak asasi manusia yang sesuai dengan definasi mereka.

Malah, pihak-pihak yang tidak matang ini perlu berfikir sejenak akan sejarah dan objektif utama penubuhan PBB. Ia ditubuhkan pada tahun 1945 selepas kegagalan League of Nations menghindari Perang Dunia kedua dengan tujuan untuk menjamin keamanan dan keselamatan dunia dengan mengamankan sebarang ancaman yang boleh mengggugatnya. Oleh itu, tidak wajar untuk Malaysia digesa keluar daripada PBB hanya kerana perbezaan pandangan dan pendekatan terhadap pemahaman hak asasi manusia.

Monday, 3 February 2014

TERIMA KASIH BUAT PARA PENDIDIK MANUSIA


Walaupun hukuman-hukuman seperti yang disenaraikan kini sudah DILARANG, namun saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi PENGHARGAAN & TERIMA KASIH kepada para guru saya yang telah mendidik saya untuk menjadi manusia dengan hukuman-hukuman tersebut.

DAHULU, arwah Cikgu Awang Sopian (SRB St. Joseph Kuching) menghukum saya ketuk ketampi dan lari keliling padang bolasepak kerana datang lewat ke perjumpaan Pengakap Kanak-Kanak. HARI INI, saya bersyukur kerana dengan itu saya mengatur pelan hidup dan jadual masa saya dengan baik serta masih kekal sebagai ahli Pengakap 

DAHULU, Ustaz Saufi (SRB St. Joseph Kuching) menghukum saya dengan mencubit peha saya sehingga biru kerana memakai selur sekolah pendek ke sekolah. HARI INI, saya bersyukur kerana dengan itu saya jaga aurat saya.

DAHULU, Cikgu Tinie Hassim (MRSM Kuching) menghukum saya berdiri di atas kerusi kerana gagal jawab soalan dalam kelas Sejarah dan saya merajuk dan tidak bertegur sapa dengan beliau. Sehinggalah suatu hari beliau panggil saya ke mejanya di bilik guru dan memohon maaf kepada saya yang membuatkan saya tersentak dan memohon maaf pula kepada beliau. HARI INI, saya bersyukur kerana dengan itu saya tahu betapa mulianya hati seorang guru yang mendidik para pelajarnya untuk berjaya. Nota tambah: saya dapat A1 untuk subjek Sejarah saya dalam SPM 

DAHULU, Cikgu Sulaiman (MRSM Kuching) menghukum saya dengan mengetuk kepala saya dengan helmet kerana memintas jalan beliau dengan tergesa-gesa semata-mata untuk mengejar rancangan TV "Journey To The West" di Dewan Selera sejurus selepas tamat prep malam. HARI INI, saya bersyukur kerana dengan itu saya amat segan memintas perjalanan guru saya melainkan dengan izin mereka.

DAHULU, Ustaz Faizul Faiizi (MRSM Kuching) menghukum saya dengan menggertak saya kerana tidak menjaga solat ketika Jambori Percubaan BIMP-EAGA di kaki Gunung Serapi, Sarawak. Namun selepas itu beliau jadikan saya teman berborak pelbagai isu sehingga ke Subuh dengan wudhu' Solat Isya' sambil mengatur komputer sekolah. HARI INI, saya bersyukur kerana dengan itu telah menjadi titik tolak untuk saya mendalami Islam serta melibatkan diri dalam gerak kerja dakwah.

DAN banyak lagi hukuman-hukuman daripada para guru saya yang saya syukuri HARI INI namun tidak berkesempatan untuk saya coretkan di status ringkas ini. Boleh saya katakan, dengan hukuman-hukuman itu maka saya berusaha menjadi manusia dan bukannya ROBOT ataupun BINATANG yang bertopengkan manusia.

TERIMA KASIH BUAT PARA PENDIDIK MANUSIA :)

Tuesday, 30 July 2013

TUJUH LANGKAH AWAL KAWAL STATISTIK REMAJA HAMIL LUAR NIKAH

Ketika isteri saya masih bertugas di Hospital Umum Sarawak, banyak kisah remaja hamil luar nikah yang datang untuk mendapatkan rawatan, dikongsikan dengan saya. Sebahagian besar remaja yang datang mengakui telah pun mengadakan hubungan kelamin luar nikah bukan sekali malah ada yang sudah hilang perkiraaan. Oleh kerana terlalu banyak kisah yang dikongsikan oleh isteri saya, terpacul soalan yang lahir daripada kebimbangan, adakah statistik kes hamil luar nikah di Sarawak terlalu teruk?

Beberapa hari lepas, kebimbangan saya terjawab. Berita televisyen melaporkan statistik remaja hamil luar nikah di Sarawak amat membimbangkan. Biarpun statistik yang dilapor tidak dibandingkan dengan negeri-negeri lain, namun untuk dijadikan sebagai bahan laporan berita, tentu sahaja isu itu sudah mencapai tahap yang serius.